30 Oktober 2023 - 17:34
33 lagi trak bantuan memasuki Gaza

SEMENANJUNG GAZA: Lebih 30 trak bantuan memasuki Gaza, pada Ahad konvoi terbesar sejak seminggu lalu ke wilayah Palestin yang sedang diserang zionis.

Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), OCHA berkata, sejumlah 33 trak yang membawa air, makanan dan bekalan perubatan ke Gaza, melalui sempadan Rafah dan Mesir. "Ini penghantaran bantuan kemanusiaan terbesar sejak 21 Oktober, dengan penghantaran terhad diteruskan," kata OCHA dalam kemas kini mengenai situasi di Gaza, awal hari ini. Setakat ini, katanya agensi itu, sebanyak 117 trak memasuki Gaza melalui lintasan itu sejak penghantaran terhad diteruskan ke wilayah Palestin yang didiami 2.4 juta orang, yang sedang berdepan pengepungan hampir keseluruhan dan pengeboman Israel tanpa henti.Seorang pegawai kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang enggan dikenali, semalam berkata, Israel komited untuk membenarkan 100 trak bantuan masuk ke Gaza setiap hari, angka didakwa PBB perlu bagi memenuhi keperluan paling asas. OCHA mengalu-alukan penghantaran bantuan terbaharu namun tetap menekankan jumlah bantuan yang lebih besar diperlukan secara tetap untuk mencegah kemerosotan dalam situasi kemanusiaan yang buruk. "Kemasukan bahan api amat diperlukan untuk mengendalikan peralatan perubatan dan kemudahan air dan sanitasi," katanya. Daripada 117 trak yang dibenarkan masuk setakat ini, mereka berkata, sejumlah 70 kenderaan itu membawa bekalan perubatan, manakala 60 lagi membawa masuk makanan. Jelasnya, hanya 13 trak yang membawa bekalan air dan bahan sanitasi. Israel ketika ini menyekat semua penghantaran bahan api, dengan alasan akan dieksploitasi oleh Hamas untuk membuat senjata dan bahan letupan. 


342/